Tiga Cara Mula Berniaga

Credit https://www.flickr.com/photos/ninajeaninephotography/2802597662/

Sekolah anak bakal mengadakan Hari Usahawan. Dan sekolah menjemput ibubapa menyewa tapak dan berniaga dengan anak-anak. Saya suka idea ini. Sedikit sebanyak ia menjadi sumbangan kepada sekolah.

Sekarang ini sedang memikirkan apa yang ingin diniagakan. Dalam pada memikirkan ini, saya rumuskan, saya dan anak ada tiga pilihan. Sebagai nota sampingan, sekolah menetapkan sewa tapak RM100 untuk hari itu. Dan saya menetapkan lagi RM100 untuk kos produk.

Ini pilihan kami:

1 – Membeli dan Menjual

Kami boleh pergi membeli barangan yang boleh dijual kembali dari kedai-kedai borong. Ada beberapa tempat kami boleh pergi untuk memilih produk dan menjualnya pada Hari Usahawan kelak. Contoh produk mungkin seperti alatulis dan permainan.

2 – Membeli Bahan, Membuat Produk dan Menjual

Alternatif lain adalah membeli bahan untuk membuat produk. Contohnya kita membeli bahan-bahan dan membuat gelang atau rantai. Boleh juga kita buat gelang khusus dengan nama pembeli di tapak kelak, atau membuat produk siap untuk dibawa.

Untuk pilihan 1 dan 2 ini, kalau saya modalkan RM100 untuk produk, dengan sewa tapak, jumlah kos adalah RM200. Kalau kami menjual setiap item pada harga RM4, maka kami perlu jual 50 unit untuk balik modal. Dengan modal produk RM100 tadi, saya perlu sediakan sebaiknya 100 unit untuk untung selesa, itupun kalau habis dijual. Bermakna, modal RM1 seunit untuk dijual pada RM4.

3 – Mencari Produk “Consignment” dan Menjual

Mulanya saya ingatkan nak cuba pergi berbincang dengan mana-mana kedai atau perniagaan berdekatan untuk membawa dan menjual produk mereka secara consignment. Bolehlah bawa anak untuk faham pasal “buat deal”. Tapi rasanya, saya ada kenalan dan networking yang mungkin boleh membantu.

Secara amnya, cara ini, kita tak perlu keluar modal untuk produk. Hanya pergi bawa barang orang untuk dijual. Yang kurang menarik, margin untung mungkin rendah. Namun risikonya juga rendah sebab saya tak perlu keluar belanja, kecuali untuk sewa tapak. Mungkin bolehlah keluar modal sikit untuk fotostat flyers dan iklan sebagai promosi sebelum Hari Usahawan.

Andaikan rakan consignment memberi margin 30%. Rata-rata produk bermula dari RM9, memberikan RM2.70 untung kasar seunit. Mungkin saya tambah RM10 untuk modal “flyers”. Dengan modal RM110, saya perlu jual lebih kurang 41 unit untuk balik modal.

Rasanya kami akan guna kaedah yang ke-3 ini. Moga-moga berhasil dan dapatlah anak belajar sesuatu tentang berniaga.

One thought on “Tiga Cara Mula Berniaga”

Leave a Reply