Categories
Uncategorized

Skim Cepat Kaya Mobile Apps

mobile-games-blogpost

Lewat ni ada bengkel dan seminar yang mengajar cara membina mobile app dan menjana duit. Bengkel atau seminar yang dianjurkan itu mungkin free atau berbayar, dan kemudian menjual pula pakej latihan beharga beribu-ribu ringgit dengan menjual impian membina empayar bisnes mobile apps. Kemudian dijual pula “platform” untuk membina mobile app yang perlu diperbaharui dalam harga ribuan ringgit setahun.

Secara amnya saya mula memahami modus operandi mereka. Ianya tidak jauh bezanya dengan bengkel dan seminar yang menjual latihan untuk membina blog dan menjana duit dengan Adsense tidak lama dulu.

Kalau diringkaskan, apa yang mereka ajar adalah cara untuk reskin mobile games and menjana duit dengan Admob atau lain-lain platform pengiklanan untuk mobile. Admob itu seperti Adsense juga tetapi khusus untuk mobile.

Bagi saya memang boleh buat duit. Dan tak ada salahnya kalau nak buat dengan cara ini. Tapi saya tidak bersetuju dengan syarikat yang menjual seminar, bengkel dan “platform” ini.

ISU-ISUNYA

Nak buat duit cara ni boleh. Bukan tak boleh tetapi seperti mana Adsense, kegilaan ini akan lenyap. Pada satu ketika dulu berduyun-duyun orang membina blog semata-mata mahu mendapatkan duit dengan Adsense. Hasilnya adalah blog dengan isi kandungan yang picisan, tiada manfaat dan juga taktik SEO yang tidak beretika dan tidak bertahan lama.

Dahulu, ketika zaman kegilaan Adsense, pada mulanya, nilai per-click di Adsense sungguh tinggi. Dengan 10 blog tidak mustahil menjana pendapatan cukup untuk gaji sebulan. Kemudian, kita perlukan 100 blog untuk menjana nilai gaji sebulan, dan kemudian 1000 blog… dan seterusnya. Saya yakin, ini juga akan berlaku dengan lambakan “reskin mobile games” yang tidak berkualiti tidak lama lagi.

Hal lain, syarikat yang menjual platform dan latihan ini memang meletakkan harga yang sangat tinggi. Sebenarnya ada banyak pilihan platform lain yang boleh membantu pembangunan mobile games dengan mudah dan pantas, malah lebih baik, pada harga yang jauh lebih murah. Ya, mungkin mereka juga menawarkan game-game yang siap untuk diubahsuai, atau game templates. Platform lain juga ada, sama ada dalam benda game lengkap, grafik, audio dan lain-lain. Ianya ditawarkan melalui marketplace yang mana penjualnya adalah pengguna-pengguna lain untuk platform itu.

Biar saya senaraikan beberapa pilihan lain.

GameSalad.com – $299USD setahun untuk pakej lengkap, selepas pakej percuma
Stencyl.com – $199USD setahun untuk pakej lengkap, selepas pakej percuma
Corona SDK – $588USD setahun untuk pakej Pro
GameMaker Studio – $799USD
Construct2 – $259.99GBP untuk pakej lengkap, terdapat juga pakej free dan bisnes yang lebih rendah

… dan banyak lagi. Saya hanya senaraikan pilihan-pilihan yang popular dan yang professional. Setiap satu ini boleh digunakan untuk membina mobile games dengan mudah dan pantas.

mobile-games-platforms-blogpost

Di samping GameSalad, Corona dan lain-lain, terdapat juga marketplace yang menjual source code penuh supaya ianya boleh di-reskin. Ada yang menjual source code, ada yang menjual game yang telah berada di Google Play atau App Store, dan lain-lain. Antaranya:

ChupaMobile.com
Apptopia.com
SellMyApplication.com
SellMyApp.com — berbeza daripada SellMyApplication.com
Flippa.com

RUMUSANNYA

Saya rasa syarikat seperti ini tidak jauh bezanya seperti mereka yang menjual skim pelaburan cepat kaya. Maka berhati-hatilah sebelum anda membayar RM3000 untuk latihan dan lagi RM7000 untuk membeli platform mereka. Apa yang diajar, bagi saya bukanlah strategi jangka masa panjang. Malah mungkin mereka sendiri hanya ada rancangan jangka pendek untuk membuat duit sebanyak mungkin dengan peserta melalui seminar dan yuran akses platform mereka.

Dengan sedikit pembacaan, carian di Internet, pastinya ada pilihan yang lebih baik.

Anda mungkin boleh buat duit dengan baik sekarang melalui Admob. Tapi kita perlu fikirkan bagaimana ini semua mungkin berubah setahun dari sekarang. Pada saya, ini semua memang nampak sangat macam zaman kegilaan Adsense dulu. Maka untuk jangka panjang, adalah lebih elok membina aplikasi yang benar-benar memberi manfaat. Juga laburkanlah untuk membina penjenamaan pada mobile game kita atau pada syarikat.

Sekiranya direnung kembali zaman kegilaan Adsense, blog-blog sampah itu semua telah lenyap, sama ada dibuang oleh Adsense ataupun hilang ranking dengan pelbagai Google Update. Yang tinggal hanyalah blog yang berkualiti dan benar-benar memberi manfaat. Mereka inilah yang benar-benar membelanjakan wang untuk penjenamaan, menawarkan kandungan yang berkualiti dan benar-benar membina kumpulan pembaca.

Ini juga bakal berlaku dengan mobile games. App yang sampah juga bakal dikawalselia oleh Google melalui Google Play. App mungkin dibuang, akaun developer mungkin ditarik balik. Malah ada kenalan yang mana akaun Google Developer telah ditarik balik dan app semua dikeluarkan daripada Google Play. Saya difahamkan ada kaedah promosi yang agak licik digunakan, hasil tunjuk ajar syarikat yang berkenaan.

Apa-apa pun, pandailah kita menilai dan jangan cepat sangat kabur mata dengan janji-janji wang mudah. Sekiranya kita mahu belajar buat duit dengan cara ini pun, pasti banyak bahan yang boleh dibaca di Internet. Google saja. Selamat maju jaya.

7 replies on “Skim Cepat Kaya Mobile Apps”

Nice… Den dah lama nk tulis bnd nie… Mmg yg bagi coaching dan platform akan unting gila2 dan diorang takkan rasa apa2 kalau trending jatuh sekalipun. + googleplay akan dipenuhi longgokan apps yang dalam kategori sampah.

aku pun tak pandai… cubalah ko belajar, lepas tu boleh jadi guest author kat sini. 😉

Assalamualaikum..salam perkenalan..thn lepas mmg best jana inkam dgn wat app ni..100usd lebih 1 hari..pada hal sy langsung xtau pasal computer..belajar computer pun sikit2 jer..tu pun sbb nak wat app..tp bln 4/2014..acc kena banned..huhu..ni dok tgh pk nk wat acc baru..

Leave a Reply