Projek Buku Git – Bantuan Diperlukan

Saya telah memulakan Projek Buku Git di Github.

Web : https://kidino.github.io/buku-git/

Github : https://github.com/kidino/buku-git

Git merupakan satu kemahiran penting untuk seorang software developer. Ianya membantu dalam menguruskan kod dan versi aplikasi yang kita bangunkan. Ianya juga memudahkan kerja-kerja pengurusan dalam projek yang melibatkan ramai programmer. Tetapi saya merasakan yang graduan IT dan sains komputer tidak mempunyai kemahiran ini setelah tamat pengajian.

Jadi, bersama dengan JOMWEB, kami telah menjalankan beberapa bengkel untuk memperkenalkan Git dan memberi pendedahan. Bengkel kami biasa berjalan selama satu hari penuh dan kami ajarkan apa sahaja yang sempat. Kami kenakan harga RM20, termasuk makan tengahari. Tempat biasanya ditaja oleh rakan-rakan JOMWEB sendiri yang mempunyai kemudahan bilik latihan dan internet.

Perlu saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan berikut yang telah menaja tempat latihan sebelum ini:

  • NEF
  • Altfa Training
  • Serai Solutions
  • Webshaper (Neowave)
  • KPTM Kuala Lumpur
  • MaGIC

Bengkel yang lepas : http://jomweb.github.io/bengkel-git/

Meluaskan Bengkel Git ke Seluruh Negara Secara Francais Percuma

Setelah melakukan beberapa bengkel, saya merasakan usaha kami untuk memperkenalkan Git kepada komuniti programmer Malaysia terlalu lambat. Perlu satu sumber rujukan Git untuk semua dalam bahasa Melayu. Dengan Projek Buku Git ini, mungkin lebih banyak bengkel boleh dilaksanakan, dan dijalankan oleh mana-mana pihak, sama ada oleh komuniti, IPTA, IPTS, jabatan kerajaan dan sebagainya. Mereka yang sudah ada pengalaman menggunakan Git bolehlah menggunakan Buku Git ini kelak untuk mengajar.

Buku Git juga didedahkan kepada umum secara sumber terbuka (open source) dan percuma. Saya tidak keberatan kalau ada pihak yang mahu menerbitkannya, mencetak dan dijual secara tidak ekslusif. Kami tidak menuntut royalti. Dan oleh sebab itu, kami berharap sesiapa sahaja yang ingin membuat seperti ini tidak mengambil untung berlebihan. Objektif utama kami adalah agar ilmu ini dipanjangkan, dan bangsa Malaysia semakin bijak dan pandai.

Hasrat kami, setelah siap Projek Buku Git ini, akan kami sertakan juga dengan Panduan Bengkel Git bagi mereka yang ingin menjalankan Bengkel seperti yang kami lakukan di tempat masing-masing. Mungkin ini menjadi sebuah francais percuma dalam usaha memandaikan bangsa Malaysia.

Bagaimana Projek Buku Git Dibina

Penulisan Bersama dengan Github

Untuk memudahkan penulisan, dan membenarkan rakan-rakan programmer membantu dalam menulis, saya menggunakan platform Github itu sendiri. Banyak projek sumber terbuka menggunakan Github yang membenarkan programmer luar membantu dalam pembangunan. Begitu juga Projek Buku Git.

Pengetahuan Git, Fork dan Pull Request diperlukan untuk membantu dalam penulisan.

Github : https://github.com/kidino/buku-git

Menggunakan Markdown

Untuk memudahkan format dan layout, kami hanya menggunakan penulisan dengan kaedah Markdown. HTML yang bermaksud Hypertxt Markup Language adalah lawan kepada Markdown. Dengan Markdown, kita menggunakan penanda-penanda ringkas untuk menghasilkan format-format tertentu seperti tajuk utama, pautan, senarai dan lain-lain. Untuk maklumat lanjut tentang markdown, mungkin laman web ini boleh membantu.

Markdown Basics
https://help.github.com/articles/markdown-basics/

Versi Web

Fail dalam format markdown disimpan dengan ektensyen .md di dalam folder /content (lihat Github).

Untuk menjimatkan kos, kami menggunakan ciri Github Pages yang disediakan secara percuma oleh Github. Dengan Github Pages, sebuah web ringkas boleh dikemaskini dengan menggunakan Git. Tetapi Github Pages tidak mempunyai kuasa pemprosesan dan pengkalan data (database) seperti PHP dan MySQL. Maka perlu sebuah web yang hanya mengguna HTML dan Javascript tetapi berupaya untuk memaparkan hasil tulisan dalam format Markdown tadi.

Jadinya, saya bina sebuah sistem ringkas yang membaca kandungan fail-fail markdown secara Ajax, kemudian menggunakan library untuk menterjemahkan markdown kepada HTML dan dipaparkan ke skrin.

Dengan fail JSON ringkas, iaitu toc.js, senarai kandungan dapat dipaparkan untuk memudahkan navigasi. Versi web ini boleh dibaca di sini.

Versi Web : https://kidino.github.io/buku-git/

Kami Perlukan Bantuan

Buku Git ini belum siap dan sempurna. Masih banyak yang perlu ditulis. Maka saya perlukan bantuan tuan-tuan dan puan-puan dalam penulisan, menghasilkan screenshot dan sebagainya.

Jadi saya alu-alukan rakan-rakan programmer untuk sama-sama membantu dalam usaha ini.

Fork projek ini, tulis apa yang ada ingin bantu menggunakan format markdown, dan kemudian commit, push dan pull request ke projek utama.

Github : https://github.com/kidino/buku-git

Terima kasih.

Leave a Reply