NEF-JOMWEB Ketengahkan Kepakaran ICT Tempatan Melalui 17 Projek Di JOMLAUNCH

10 Oktober 2015
Content Malaysia Pitching Centre, FINAS
Kuala Lumpur

Siang tadi berlangsungnya majlis JOMLAUNCH yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputera Malaysia (NEF) dan komuniti pembangun IT JOMWEB. Majlis telah berlangsung sepanjang hari dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang di Content Malaysia Pitching Centre, FINAS di KL Sentral.

JOMLAUNCH adalah sebuah majlis di mana pihak individu mahupun syarikat boleh menunjukkan projek dan hasil kerja dalam bidang ICT yang telah dibangunkan kepada umum. Majlis ini bertujuan untuk meraikan mereka yang terlibat dalam pembangunan ICT dan juga mengetengahkan bakat-bakat hebat tempatan dalam bidang ini. Penekanan diberikan kepada teknologi dan kaedah yang digunakan dalam pembangunan ICT dan bukannya aspek komersil sesebuah projek.

Oleh yang demikian, projek-projek yang dipertontonkan dibahagikan kepada empat kategori; 1) komersil 2) peribadi 3) sumber terbuka (open source) 4) komuniti.

17 buah projek ICT hasil rekacipta dan inovasi tempatan telah dipertontonkan kepada umum.

Di samping projek-projek yang dipertontonkan, majlis juga dihadiri oleh presiden NEF, Ashran Dato’ Ghazi yang memberi penerangan tentang NEF dan fungsi NEF dalam industri. Satu slot juga diperuntukkan untuk perkongsian pengalaman beberapa peserta program eStanford ke Silicon Valley, USA oleh MaGIC. Slot tersebut telah dikendalikan oleh Yusno Yunus dan Farid Nor dari Evenesis dan juga Aizah dari Mad Cat.

Majlis ini dijayakan hasil tajaan dan kerjasama sukarelawan dari JOMWEB dan NEF, NEF sendiri, Evenesis, Katsana, Content Malaysia Pitching Centre dan juga Pixaworks.

Berikut adalah projek-projek yang telah dipertontonkan kepada umum.

    1. HeyDroplet! (peribadi)
      HeyDroplet adalah sebuah projek peribadi oleh Zulfa Juniadi dan Muhammad Syafiq yang membantu memantau server yang disewa daripada sebuah syarikat hosting Digital Ocean. Dengan HeyDroplet, pembangun akan sentiasa mengetahui status server.

      Zulfa Juniadi, http://www.github.com/zulfajuniadi
      Muhammad Syafiq, http://www.github.com/lomotech
      [email protected]
    2. WHoP (komersil)
      WHoP dibangunkan oleh Cool Codes dari Johor Bharu. Ianya adalah sebuah aplikasi pengurusan akaun hosting seperti CPanel, tetapi lebih khusus untuk pembangun. Syarikat hosting boleh mempertimbangkan aplikasi ini untuk digunakan bagi kemudahan pelanggan mereka.

      Cool Code Sdn. Bhd., http://coolcode.my
      Ahmad Fikrizaman Bin Abd Rahim, [email protected]
    3. dobybox (komersil)
      dobybox menawarkan khidmat dobi kepada umum dengan meletakkan almari locker di tempat-tempat kerja. Pelanggan boleh meletakkan baju mereka yang ingin dicuci di locker beserta arahan-arahan khusus seperti drycleaning, ironing dan sebagainya. Urusan tempahan dan bayaran dilakukan melalui aplikasi mobail. Syarikat dobi yang berminat juga boleh menggunakan sistem ini untuk meluaskan perniagaan tanpa perlu membuka premis baru.

      DOBYBOX, http://www.dobybox.com/
      Muhammad Syafiq Faiz bin Md. Noor, [email protected]
    4. MadResponse (komersil)
      MadResponse adalah sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan pemasaran email. Yang menariknya semua urusan email SMTP dikawalselia oleh mereka sendiri, yang sebenarnya agak rumit. Sistem MadResponse juga mempunyai ciri-ciri segmentasi yang unik seperti boleh mengenalpasti penerima yang telah klik pautan tertentu dan kemudiannya boleh dihantarkan email-email yang berbeza, ataupun diletakkan ke kumpulan senarai pelanggan yang berbeza.

      https://madresponse.com
      Abdullah Abdul Rashid, [email protected]
    5. Qawal (komersil)
      Qawal membangunkan perkakasan dan perisian untuk pemantauan perniagaan dobi layan diri. Dengan memasang Qawal, pemilik syarikat dobi boleh mengetahui setiap syiling ataupun duit yang masuk ke mesin dobi secara langsung tanpa berada di premis. Malah mesin basuh juga boleh dikawal dari jauh. Semua rekabentuk circuit dan elektronik telah mereka bangunkan sendiri, bersama dengan aplikasi untuk perkasasan juga aplikasi web untuk pelanggan.

      Qotak Technology Sdn. Bhd., http://qotak.com/
      Norazri Zakaria, [email protected]
    6. Instagram Hero (komersil)
      Octo House telah membangunkan beberapa aplikasi untuk membantu mereka yang terlibat dalam perniagaan online menggunakan Instagram. Namun, kali ini mereka mempertontonkan Instagram Hero yang membantu mendapatkan lebih ramai followers di Instagram agar perniagaan lebih dikenali.

      Octo House, http://www.octohouse.com/
      Firdaus Putra, [email protected]
    7. MyPomen (komersil)
      MyPomen, sebuah aplikasi mobail yang telah dibangunan secara bersendirian untuk menyenaraikan woksyop kereta yang berhampiran dengan anda. Ianya amat berguna bagi pemilik kenderaan kerana kita tidak tahu bila masalah kereta akan berlaku. Pemilik woksyop boleh melanggan perkhidmatan ini untuk mempromosikan woksyop mereka melalui aplikasi ini.

      http://www.mypomen.com/
      Arith Amami Mislan, [email protected]
    8. Ringgit.co & Bootstrappr (peribadi)
      Kedua-dua ini adalah aplikasi mobail yang bertujuan untuk merekodkan perbelanjaan seharian. Ini merupakan projek sampingan secara peribadi oleh pembangun. Ringgit.co adalah untuk pengguna individu manakala Bootstrappr adalah untuk berkumpulan. Bootstrappr lebih bersesuaian untuk mereka yang bercadang untuk memulakan sebuah projek bersama dan merekodkan perbelanjaan yang telah dikeluarkan oleh ahli kumpulan.

      http://ringgit.co
      Ahmad Hairudin, [email protected]
    9. PiMasjid (komuniti)
      PiMasjid mula dibangunkan bertujuan membantu masjid dan surau merekod dan menayangkan kuliah secara langsung menggunakan internet. Projek ini dibangunkan secara sukarela oleh ahli kumpulan di hujung minggu dan waktu malam secara hackathon yang mereka namakan Code and Qiyam yang berlangsung dari pukul 9 malam hingga 9 pagi. Projek mereka menggunakan perkakasan Raspberry Pi dan YouTube.

      http://www.pimasjid.com
      Mohd Sallehuddin Mad Yusuf, [email protected]
    10. LocumSlot (komersil)
      LocumSlot dibangunkan bagi menangani masalah klinik dan farmasi mendapatkan doktor dan ahli farmasi untuk berkhidmat di premis mereka. Melalui LocumSlot, klinik dan farmasi boleh menawarkan waktu kerja yang diperlu diisi. Doktor dan ahli farmasi yang berminat juga boleh menganggotai laman web ini untuk mengetahui dan menawarkan diri untuk slot yang dibuka.

      http://www.locumslot.com
      Rifki Yandhi, [email protected]
    11. linuxtcptw (sumber terbuka)
      Ini merupakan projek sumber terbuka yang membantu optimasi sesebuah server dengan sistem operasi Linux di peringkat kernel OS itu sendiri. Bagi pakar network dan OS yang ingin mengoptimasi WAIT_TIME dalam protokol TCP, linuxtcptw ini boleh digunakan. Daripada menambah server dalam sesebuah sistem untuk menangani trafik yang tinggi, linuxtcptw mungkin boleh membantu menjimatkan kos itu.

      https://github.com/efaisal/linuxtcptw
      E A Faisal, [email protected]
    12. Katsana Shuttle (komersil)
      Katsana yang semakin dikenali dengan produk GPS tracking mereka memperlihatkan projek Katsana Shuttle kepada umum. Katsana Shuttle dikhususkan kepada institusi dan organisasi yang mengikat kontrak perkhidmatan bas dengan pihak luar. Katsana Shuttle membantu institusi mengawalselia laluan bas yang dibuat, membantu pelajar yang menggunakan bas mengetahui di mana bas berada, dan juga pihak syarikat bas untuk menyelia pemandu mereka benar-benar mengikut jadual yang telah ditetapkan.

      Dalam sebuah kes terbaru, Katsana membantu sebuah IPT mengenalpasti bahawa syarikat vendor bas hanya mengikut 50% daripada jadual bas yang telah ditetapkan.

      Pixelated Sdn Bhd, http://www.katsana.com
      Fuqaha, [email protected]
    13. Storymorie (komuniti)
      PTS Media Group membangunkan aplikasi web ini untuk mengasah bakat-bakat muda dalam penulisan. Mereka semuda 5 tahun hingga 12 tahun boleh mendaftar dan menulis cerita untuk dikongsikan kepada umum melalui aplikasi web ini. Dan pada selang masa tertentu, pertandingan diadakan dan pemenang dengan cerita yang terbaik akan memenangi hadiah. Dengan beberapa hasil penulisan yang telah diangkat oleh PTS sebagai bahan cetakan, nyata StoryMorie telah berjaya mencungkil beberapa bakat penulisan muda yang hebat.

      PTS Media, http://tunassuper.my/storymorie
      Muhd Helmi Mahamad, [email protected]
    14. Instaweb (komersil)
      Instaweb membuatkan pembangunan web lebih mudah. Membangunkan web nyata satu kerja yang remeh, lebih-lebih lagi apabila ingin mengemaskini kandungan dalam web. Dengan Instaweb, ianya mengambil maklumat dan data dari Facebook Page pilihan dan membina sebuah laman web yang cantik dan profesional. Tidak sampai 5 minit, anda boleh memiliki sebuah laman web berasaskan Facebook Page anda.

      http://instaweb.my
      Issani Isa, [email protected]
    15. Menega (komersil)
      Menega sebuah marketplace yang menghubungkan pengguna dan penjual dalam satu persekitaran yang lebih selamat. Bagi penjual mereka juga boleh mendapat ciri-ciri tambahan seperti data tender oleh GLC dan kerajaan.

      Kinetic Innovative Technologies Sdn Bhd, http://www.menega.my
      Nordiana Abdullah, [email protected]
    16. Urusniaga.my (komersil)
      Urusniaga adalah sebuah aplikasi web yang membantu operasi dari aspek kewangan sebuah perniagaan. Dengan satu akaun, ianya boleh menyokong banyak syarikat. Selain daripada untuk perniagaan itu sendiri, ianya juga boleh digunakan oleh mereka yang menawarkan perkhidmatan pengurusan untuk syarikat. Urusniaga membantu merekodkan semua transaksi operasi syarikat seperti perbelanjaan, invois, sebutharga, penghantaran produk dan lain-lain. Dengan antaramuka (interface) yang menyokong peranti mobail juga paparan graf dan rajah yang cantik, ianya mudah digunakan dan sangat membantu dalam mengenalpasti keadaan syarikat pada setiap masa.

      Rutweb Technology Sdn Bhd, https://beta2.urusniaga.my
      Mohd Nawawi Mohamad Jamili, [email protected]
    17. KeretaSewa.my (komersil)
      Dibangunkan secara sambilan, KeretaSewa.my membantu syarikat yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa untuk menguruskan perkhidmatan dan pelanggan mereka. Selain dari itu, ia juga boleh digunakan untuk merekod data servis dan kereta seperti cukai jalan dan insurans, dan lain-lain. Disebabkan ianya sekarang digunakan oleh 700 syarikat kereta sewa, data penyewa juga boleh dikongsi bersama, sekiranya ada kes-kes di mana penyewa disenaraihitamkan atas sebab-sebab tertentu.

      http://www.keretasewa.my
      Muhammad Hamizi Jaminan, [email protected]

 

 

3 thoughts on “NEF-JOMWEB Ketengahkan Kepakaran ICT Tempatan Melalui 17 Projek Di JOMLAUNCH”

  1. Terbaek.. Kalaulah aku shark macam rancangan realiti tv ‘Shark Tank’ memang ada beberapa produk yang aku ambil ni…
    harap2 aku mampu masuk untuk tahun depan.. AMIN.

Leave a Reply