Categories
Umum

Jangan Tertinggal Keretapi Laju JR Shinkansen

Selesai berkemas dan keluar dari unit Airbnb di Akihabara, jam sudah pukul 10.30 pagi. Kami terus ke stesen rel Akihabara untuk ke kaunter tiket syarikat JR.

JR Pass adalah pass tempoh terhad untuk pelawat negara Jepun yang membolehkan pemiliknya menaiki mana-mana keretapi syarikat JR di seluruh negara Jepun, termasuklah Shinkansen, keretapi laju Jepun. Ianya perlu dibeli di luar Jepun sebelum datang dan diaktifkan apabila tiba di Jepun.

Kami miliki JR Pass tujuh hari. Untuk memudahkan perjalanan, kami telah membuat keputusan untuk menempah kerusi dalam gerabak. Tiada kos tambahan diperlukan. Perjalanan yang dirancang adalah untuk ke Kanzawa, kemudian ke Kyoto dan seterusnya ke Tokyo kembali.

Selesai membuat tempahan, keretapi Shinkansen yang pertama bakal kami naiki dijadualkan bertolak pada pukul 12.24 tengahari dari Tokyo. Sewaktu selesai di kaunter tiket JR, jam menunjukkan 11.06 pagi. Oh, ada lebih dari sejam. Kamipun masuk ke kompleks membeli-belah Atre yang bersambung dengan Stesen Akihabara untuk membeli sedikit makanan dan juga beberapa helai long john UNIQLO.

Tiket tempahan kerusi dalam gerabak untuk Shinkansen

Jam menunjukkan 11.56 pagi dan kami di pintu masuk tiket. Bertanyakan dengan kerani tiket di situ, saya sangat terkejut apabila mula menyedari keretapi Shinkansen ini berlepas dari Stesen Tokyo, dan kami masih di Stesen Akihabara. Tiba-tiba terasa sejuk satu kepala dan pastinya peluh cemas mengalir di sisi mata. Saya khuatir ketinggalan keretapi. Perasan dari tadi merasakan seperti Shinkansen akan berlepas dari Akihabara dan semua OK sebab kami sudah berada berhampiran stesen. Maka kami segera bergegas mencari tren laluan Yamanote untuk ke Stesen Tokyo. Nasib baik hanya sekadar dua stesen perhentian dari Stesen Akihabara. Tiba di Tokyo, kami bergegas lagi mencari kaunter penerangan untuk menanyakan arah ke platform Shinkansen kami.

“Track twenty three”, kata kerani tersebut.

Kami sambung berlari lagi. Kesemua kami berlima, dengan bag galas, stroller, beg beroda terkepot-kepot sambil mendukung si Aniq yang berumur 3 tahun setengah. Aniq yang sedang didukung tak putus-putus bertanya, “Nak pergi mana ni? Nak pergi mana ni?”

Jam menunjukkan 12.15 tengahari. Tak sempat nak tengok gerabak kami betul ke tak, kami terus masuk ke tren. Khuatir silap saya bertanya dengan penumpang lain. Gerabak kami salah, maka kami bergerak dari gerabak ke gerabak. Tiba di gerabak 10 seperti tertera di tiket, seperti ada yang tidak kena. Terlalu ekslusif nampaknya gerabak 10 ini. Macam kapal terbang kelas pertama. Maka saya keluar segera melalui pintu antara gerabak sambil ahli keluarga masih di dalam tren. Ada seorang pegawai JR yang saya nampak maka saya tanyakan kepada dia sambil menunjukkan tiket. Dengan bahasa Jepun bersepah saya dan broken English dia, saya faham, “Track twenty one.”

“Eih! Salah platform?”

Tak habis lagi cemasnya rupanya. Saya beri isyarat kepada ahli keluarga yang menunggu di ruang antara gerabak dalam keretapi dan laungkan, “Turun”. Lantas mereka bergegas turun. Tak sampai seminit, keretapi itu pun bergerak. Nasib baik sempat turun. Kalau tak entah ke manalah dibawanya.

Kami sambung lagi terkepot-kepot berlari berlima. Turun platform 23 ini bergegas ke platform 21. Nampak ada sebuah keretapi sedang menunggu penumpang. Nampak tertera di panel elektronik seperti ada yang sama dengan tiket. Maka kami pun masuk dan terus ke gerabak 10. Mata ligat memerhati nombor kerusi. “16. 16. 16”, bermain di dalam kepala.

“Ah 16!” kata saya dalam hati sambil ternampak seorang wanita duduk di baris yang sama, tetapi di bahagian tingkap bertentangan.

Saya tanyakan kepada dia sambil tunjukkan tiket. Wanita itu mengeluarkan tiket dia dan membuat perbandingan. Sedikit keliru mulanya sebab tiket dia berbahasa Jepun dan tiket kami dalam bahasa Inggeris. Tetapi kemudian dia isyaratkan betul.

Barulah terasa lega. Dan baru ketika itu saya perasan yang saya sudah berpeluh-peluh walaupun dengan cuaca 12 darjah Celcius di Tokyo ini. Mungkin kerana dengan pemanas hawa dalam keretapi ini, cuaca luar tidak lagi dirasai.

Namun kemudian saya lebih memahami sistem tiket Shinkansan yang mana saya tak perlu cemas mana pun sebenarnya. Kalaupun tertinggal Shinkansen, dengan JR Pass, kita boleh menempah untuk naik keretapi seterusnya yang mungkin 30 minit kemudian tanpa apa-apa bayaran tambahan. Ataupun, asalkan kita ada tiket JR Pass, kita boleh sahaja menaiki mana-mana keretapi JR tanpa menempah tempat duduk. Tetapi mestilah menaiki gerabak non-reserved.

Sampai pun di Kanazawa

One reply on “Jangan Tertinggal Keretapi Laju JR Shinkansen”

Leave a Reply