Ini sebahagian daripada kekecewaan saya melihat kepada calon-calon yang memohon kerja di syarikat. Rupa-rupanya ada rakan lain yang rasa sama macam saya. Dan kebanyakannya dilakukan oleh graduan yang baru tamat belajar di universiti. Tetapi ada juga orang-orang yang berpengalaman melakukan perkara yang sama.
Ini adalah beberapa panduan untuk perkara-perkara yang jangan dilakukan apabila memohon kerja.
- Dunia sekarang ini, kadang-kala sesi temuduga (secara tidak formal) bermula dengan chat di Internet. Jangan gunakan kata singkatan, apatah lagi dengan keterlaluan. Mungkin bakal majikan juga menggunakan kata singkatan ketika berchat, tetapi awak kenalah lebih professional dan menunjukkan kematangan.
- Disambung daripada nombor 1, jangan gunakan kata singkatan di dalam email juga.
- Kadang berchatting, ianya agak tidak formal, tetapi awas! Jangan sampai terlalu selesa dan mula memanggil bakal bakal majikan dengan gelaran “bro”, atau “der”, atau “sis” mahupun “bang” atau “akak” sekalipun.
- Apabila menghantar email permohonan, adalah kesilapan besar apabila menulis, “Find my resume attached”. Email sudah menjadi pengganti “cover letter” dan surat permulaan perlu ditulis di dalam email itu.
- Susulan daripada nombor 4 juga, jangan attach cover letter. Tulis di dalam email. Lebih silap lagi, tiada cover letter langsung sebagai pengenalan diri.
- Email, subjek email dan kandungan email perlu jelas menyatakan tujuan surat, jawatan yang dimohon dan sebab ringkas kenapa anda calon yang terbaik.
- Mungkin yang ini adalah cara saya secara peribadi, tetapi saya tak berapa hairankan transkrip belajar mahupun CGPA. Lainlah kalau awak memohon jawatan saintis atau pegawai penyelidik. Saya lebih berminat dengan hasil kerja lepas. Jadinya, menyenaraikan projek yang dibuat dalam kelas dan makmal lebih releven. Sekiranya ada projek berkaitan yang dibuat di luar skop kursus, lagi bagus.
- Saya sedikit cerewet melihat resume yang tunggang-langgang, tidak diformat dengan betul, saiz tulisan yang besar dan kecil, dan lain-lain. Bukannya kena cantik, tetapi kena kemas. Di dalam hati saya berkata, “Word pun tak pandai guna?”
Mungkin kawan-kawan ada pengalaman lain. Dan mungkin juga adik-adik ada soalan. Saya alu-alukannya sebagai komen di bawah.
One reply on “Perkara-perkara Larangan Untuk Pemohon Kerja”
Baik tuan. Saya akan perbaiki resuma saya.