JOMLAUNCH adalah program sehari yang dianjurkan bersama oleh JOMWEB dan Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputera Malaysia (NEF). Ianya adalah sebuah program yang disasarkan untuk golongan penggiat ICT, programmer, web designer dan juga golongan bisnes ICT.
Dan pada 26 November 2016 yang lepas, telah berlangsungnya JOMLAUNCH4. JOMLAUNCH1 dan JOMLAUNCH2 dijalankan pada tahun 2016, manakala JOMLAUNCH3 dijalan pada 28 Mei 2016 yang lalu.
Dalam JOMLAUNCH, projek ICT yang telah dibangunkan oleh komuniti JOMWEB dan NEF telah dipilih untuk mempersembahkannya di atas pentas dan lantas melancarkannya kepada umum.
Dan kali ini 20 projek telah dipilih. Namun 2 projek terpaksa tarik diri di saat akhir, dan berbaki 18 projek sahaja yang membuat pembentangan.
Tapi saya tak mahu bercerita tentang JOMLAUNCH seperti laporan berita. Di sini saya nak merapu dan apa sahaja pandangan dan pengalaman yang boleh saya kongsikan tentang JOMLAUNCH, khususnya JOMLAUNCH4.
JOMLAUNCH4 kali ini bagi saya sangat istimewa. Dan sememangnya program JOMLAUNCH terhebat setakat ini. JOMLAUNCH1 mengumpulkan lebih kurang 80 hadirin. JOMLAUNCH2 mengumpulkan dalam 120 hadirin. JOMLAUNCH3 mendapat kehadiran dalam 200 peserta. Dan kali ini, JOMLAUNCH4 menerima 300 peserta.
Seperti biasa kita jual tiket pada harga RM20 seorang, termasuk makan tengahari dan juadah pagi. Ini semua ditaja oleh NEF, yang juga telah menaja F&B untuk JOMLAUNCH2 dan JOMLAUNCH3. Mungkin elok saya katakan juga yang NEF telah menaja banyak program bersama JOMWEB seperti bengkel teknologi yang diadakan hampir setiap bulan dalam 2016 ini. NEF menaja tempat dan juga makan minum untuk program bulanan bersama NEF.
Harga RM20 itu juga tadi, hadirinlah yang paling beruntung. Mereka bukan sahaja dapat menghadiri program, dapat makan, malahan juga mendapat sumbangan produk dan barangan daripada penaja. Contohnya, Zepto Express sudah 2 kali menaja t-shirt untuk peserta. Banyak syarikat kawan-kawan JOMWEB telah memberi pelekat dan ada juga memberi badge.
Sebenarnya penglibatan NEF dengan JOMLAUNCH secara tidak langsung bermula sejak JOMLAUNCH1 lagi di mana Presiden NEF ketika itu, Ashran Ghazi, hadir sebagai penonton. Bendahari NEF ketika itu, Lilyana Latiff juga turut hadir. Mungkin apa yang mereka lihat telah menarik minat mereka. Maka bermula dari JOMLAUNCH2, NEF telah terlibat secara langsung dan JOMLAUNCH juga menjadi sebuah aktiviti NEF.
Stampede Design menambahkan lagi keistimewaan JOMLAUNCH kali ini. Website JOMLAUNCH nyata lebih menarik dengan sentuhan Shaza Hakim yang mengetuai Stampede Design. Banyak yang telah dipermudahkan oleh Stampede. Dan banyak juga yang saya pelajari dengan meneliti bagaimana pasukan Stampede melayani kami sama seperti salah satu daripada klien mereka. Jika dinilai dengan wang ringgit, ini mungkin khidmat 5-angka untuk klien lain.
Sumbangan dan buah fikiran Shaza Hakim juga banyak membantu perancangan JOMLAUNCH. Sedikit sebanyak, saya macam menganggap Shaza seolah seperti penasihat pula. Di hari kejadian pula, kesemua pasukan Stampede juga telah membantu kerja-kerja urusetia secara sukarela sebagai petugas pendaftaran.
Antara penaja utama kali ini adalah TM RE: yang menyediakan tempat yang baik, selesa dan strategik dari segi lokasi. Tempatnya lapang lengkap dengan parkir percuma, sistem audio, surau, tandas dan lain-lain yang menjamin keselesaan pengunjung, TM Convention Centre.
Sebenarnya, antara kenalan dari NEF dan Rave Accelerator dahulu, Mohd Shahril Shaik yang telah menghubungkan JOMWEB dengan mereka dari TM RE: agar dapat bekerjasama untuk menganjurkan JOMLAUNCH. Dapatlah kami berkenalan dengan Nazrul dan Dr. Syed dari TM RE: yang begitu bersemangat mahu menjayakan JOMLAUNCH kali ini. InsyaAllah TM RE: akan bersama dalam JOMLAUNCH yang akan datang juga. Untuk JOMLAUNCH4 yang lepas, dapatlah kami buat JOMLAUNCH kali ini di tempat yang hebat dan gah, TM Convention Centre.
Saya rasa saya mesti ceritakan pasal Jasdy juga, yang telah membantu menguruskan JOMLAUNCH sejak JOMLAUNCH2. Jasdy memang aktif dengan aktiviti penganjuran program sebegini sejak PHP Meetup dahulu. PHP Meetup terakhir diadakan pada 2011. Beberapa kali terlibat dengan JOMLAUNCH, inilah dia partner yang sama-sama tolong bungkus goodies, buat site visit, bermesyuarat dengan penaja, jadi mat despatch ambil dan hantar barang, dan lain-lain lagi.
Kalau cerita pasal itu, mesti juga saya cerita pasal Shariza dan Noreen yang merupakan sekretariat NEF. Banyak kerja-kerja logistik belakang tabir yang mereka uruskan hanya dengan sedikit panduan daripada saya. Mereka berhubung dengan peserta, hantar email, susun nama, bersiap untuk pendaftaran, berurusan dengan katerer, sediakan alatulis, penjaga masa ketika acara dan lain-lain lagi. Dan biasa mereka akan bawa juga beberapa kawan lagi untuk membantu di hari kejadian.
Hmm… rasanya ini sudah menjadi post kredit, tribute dan penghargaan untuk kawan-kawan yang membantu JOMLAUNCH. Ramai lagi yang bantu secara langsung dan tidak langsung. Ariff Azraai, Izuddin Helmi, Fuqaha, Hamizi dan ramai lagi.
Sekadar untuk catatan, berikut adalah projek yang membentang pada JOMLAUNCH4.
- Mytix, sistem pengurusan belian tiket untuk tempat-tempat tarikan pelancong.
- Splate, projek sumber terbuka, sebuah templat untuk membinaan SaaS berasaskan Laravel.
- 1YearStaff.com, pekerja pembantu maya (virtual assistant services)
- MInD Automated Vehicle (MAV), robot pengangkut barang dalam (automated guided vehical) persekitaran pembuatan dan pergudangan Mohd Zhafri bin Baharudin dan pasukan.
- Bytetuta, sistem robot sembang (chat bot) untuk muslim yang menyokong pelbagai platform.
- Eraxen Endpoint Protection, sistem pertahanan daripada malware oleh Azlan Mukhtar.
- Ninja iDempiere, sebuah plugin untuk iDempiere ERP yang memudahkan pembinaan sistem oleh Redhuan D. Oon.
- CerdikApp, sistem komunikasi untuk guru, ibubapa dan murid oleh Firhad Samuri dan pasukan.
- HireMe.my, sistem marketplace dan resume oleh Mohd Izuddin Helmi.
- EksploRazi, permainan elektronik 3D untuk pembelajaran oleh Amirul Firdaus Bin Abu Yaziz dan ahli pasukan.
- GO.my Travel Assistant, portal marketplace untuk pembantu pelancongan Nazrul Hazhan dan ahli pasukan.
- WhatsTivity, sebuah social network for untuk mendapatkan maklumat penting dalam komuniti secara crowd sourcing oleh Muhammad Hazmin bin Wardi.
- RobotJualan.com, sistem robot sembang (chatbot) yang mampu menghasilkan jualan Zulfa Juniadi.
- Terapi.my, seperti Uber untuk khidmat urutan, bekam dan spa oleh Wan Hairul Azzuan Wan Hanudin.
- Soding, sistem carian pekerja dan headhunting oleh Mohammad Nurdin bin Norazan.
- MMS, sistem pengurusan keahlian dan aktiviti sebuah kelab kereta atau permotoran oleh Azril Azhari dan pasukan.
- Telebuzz, sistem robot sembang untuk aplikasi Telegram oleh Ismail Lebai Saleh dan pasukan.
- RunCloud.io, sistem pemasangan dan pengurusan server secara dalam talian oleh Muhammad Arif Bin Tukiman dan ahli pasukan.
Sebagai satu kejutan, JOMHACK juga telah menaja hadiah kemenangan bernilai RM1000 bagi Projek Pilihan Penganjur. Anugerah ini dimenangi oleh RunCloud.
Sekarang ini, boleh saya rumuskan, kita dah mula bincang dan merancang untuk JOMLAUNCH5. Kita jumpa nanti…
One reply on “Pengalaman Menganjurkan JOMLAUNCH4”
saya berminat
0186604800 untuk segala komunikasi