Kanazawa tak berapa dikunjungi oleh pelancong berbanding Kyoto, Osaka dan Tokyo. Malah saya tak rasa ianya popular di kalangan pengunjung Malaysia. Tapi saya rasa bertuah berkunjung ke bandar ini dalam percutian Jepun kami.
Kanazawa terletak di bahagian tengah Jepun namun di pantai Barat, bertentangan dengan Tokyo yang terletak di pantai Timur.
Apa yang menarik di Kanazawa?
Kami akan menggunakan JR Pass untuk melancong semasa di Jepun dan sedang tercari-cari lokasi untuk ditujui. Sayang kalau dah beli tiket JR Pass dan tidak digunakan sepenuhnya. JR Pass ini membenarkan kita menggunakan keretapi Shinkansen dan lain-lain keretapi syarikat JR di seluruh Jepun. Harga tiket JR Pass adalah dalam lingkungan $250 USD. Itu adalah seperti harga pergi dan balik dari Tokyo ke Kyoto.
Kami memang akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita dan kemudian bergerak ke Tokyo. Dan Kyoto juga salah satu destinasi yang telah kami putuskan. Tapi kalau sekadar pergi ke Kyoto dan pulang semula ke Tokyo, terasa seperti kami tidak menggunakan JR Pass dengan sepenuhnya.
Apabila ada kenalan Jepun sebut pasal Kanazawa, kami pun buat penyelidikan di Internet. Sebenarnya, bagi kami yang pertama kali akan ke Jepun, mana-mana dalam Jepun pun tak apa. Asalkan nilai JR Pass yang kami beli dapat kami gunakan dengan rasa berbaloi. Apa yang kami dapati, memang banyak tempat menarik di Kanazawa. Banyak muzium, istana lama, bandar lama, taman-taman Jepun yang menarik untuk dikunjungi.
Kami menetap selama 3 hari 2 malam di Kanazawa. Tiga hari dan dua malam sebenarnya hanya memberi kita satu hari sahaja untuk bersiar-siar. Hari pertama, hari tiba dan check-in ke hotel. Hari ketiga adalah hari checkout dan menyambung perjalanan. Maka tinggallah hari kedua sahaja. Dengan musim sejuk yang mana malam datang awal, tempoh untuk berjalan di siang hari semakin pendek. Jam 5 petang sudah melepasi maghrib dan sudah gelap. Maka ini sahaja yang dapat kami singgah ketika di Kanazawa.
- Stesen Kanazawa
- Omicho Market
- Higashi Chaya District
- Kanazawa Castle
Untuk bersiar-siar sekitar bandar Kanazawa, langkah yang bijak adalah untuk mendapatkan tiket sehari bagi Kanazawa Loop Bus. Harganya 500-yen untuk dewasa dan 250-yen untuk kanak-kanak. Kanazawa Loop Bus membenarkan pemilik tiket untuk menaik bas yang mengelilingi sekitar bandar. Ada dua jenis bas ini. Keduanya menggunakan laluan yang hampir sama cuma satu menghala ke kanan dan lagi satu ke kiri. Ianya dikenali dengan Left Loop dan Right Loop. Keduanya boleh dinaiki dengan tiket sehari itu. Ini memudahkan pelancong kerana tidak kira di belah mana jalan pun, sekira ianya laluan bas Kanazawa Loop Bus, anda pasti boleh menaikinya di perhentian bas.
Hotel yang kami diami, MyStay Premier Kanazawa, hanya sekitar 500 meter dari pintu masuk Barat (West Gate) Stesen Kanazawa. Dan separuh perjalanan, ada laluan bawah tanah sepanjang 300 meter yang membantu kami mengelak daripada cuaca sejuk. Di situ juga kami dapati terdapat ruang parkir basikal. Jadi yang kami rumuskan, pihak berkuasa tempatan menggalakkan penduduk setempat berbasikal ke stesen sebelum menaiki keretapi ke tempat kerja (atau ke mana-mana). Dengan begini, basikal tak perlu dibawa naik atas keretapi seperti di bandar-bandar Eropah.
Stesen Kanazawa juga menempatkan kompleks membeli belah dan beberapa kedai-kedai untuk kemudahan pengunjung. Di ruang luar, taman buatan dan senibinanya juga menarik perhatian dengan arca yang unik dan mengagumkan.
Berjalan dari hotel, kami memasuki Stesen Kanazawa dan keluar melalui Kenroken Gate (kerana menghadap Kenroken Garden) atau Pintu Timur (East Gate). Di situ terdapat hentian-hentian bas termasuklah Kanazawa Loop Bas. Di situ juga kaunter yang menjual tiket Kanazawa Loop Bas berada.
Selepas membeli tiket, kami memutuskan untuk menaiki Left Loop kerana ingin ke Omicho Market terlebih dahulu. Hentian pertama Left Loop adalah di mana Omicho Market berada. Berpandukan peta dan risalah Kanazawa Loop Bus, kami turun di hentian LL1. Di sini kita boleh melihat pasar Jepun yang menjual pelbagai buahan, sayuran dan juga hasil tangkapan laut. Terdapat juga beberapa gerai yang menjual pakaian dan restoran kecil yang menjual makanan laut.
Di sini kami membeli strawberi dan merasa beberapa makanan laut dengan selera Jepun seperti Ebi (udang panggang) dan ketam rebus.
Di Omicho Market, struktur asasnya adalah satu jalan utama berbumbung yang panjang ke belakang dengan lorong-lorong di kiri dan kanan. Pasar ini mungkin dalam 800 meter panjangnya. Di hujung pasar, kita sebenarnya sudah hampir dengan Kanazawa Castle dengan melalui Kuromon Gate. Berpandukan Google Map, kami berjalan kaki dalam 350 meter untuk ke Kuromon Gate.
Masuk sahaja ke kawasan Kanazawa Castle, tersergam indah taman dengan padang yang luas. Dan di latarbelakang kita boleh melihat Kanazawa Castle itu, mungkin dalam 500 meter perjalanan lagi. Dalam cuaca sejuk dan dengan berjalan perlahan menikmati keindahan taman Jepun ini, kepenatan tidak terasa.
Bersiar-siar sekitar taman-taman di Kanazawa Castle adalah percuma. Dan kita boleh juga masuk ke bahagian dalam istana lama ini, tetapi yang ini ada harga tiketnya. Kami bercadang untuk melihat Hisgashi Chaya pula. Maka kami pun meninggalkan perkarangan Kanazawa Castle melalui pintu utama dan mencari perhentian bas untuk menaiki semula Kanazawa Loop Bus.
Sebelum menemui hentian bas, kami disambut oleh kedai-kedai cenderahati dan makanan ringan sebaik sahaja melangkah keluar dari pintu utama Kanazawa Castle. Sekiranya ada bajet, mungkin boleh memilih beberapa kaki payung atau lain-lain ole-ole. Kami mencuba gold leaf ice cream yang juga menjadi makanan snek ikon Kanazawa. Aiskrim kon vanila dengan selingkar daun emas dijual pada harga 480-yen. Kami nikmati aiskrim sambil berjalan ke arah hentian bas yang hanya 200 meter dari pintu utama Kanazawa Castle.
Untuk ke Hisgashi Chaya dari Kanazawa Castle, kami perlu menggunakan Left Loop dan hentian terdekat adalah LL9. Dari situ, kami meneruskan perjalanan dan berhenti di hentian LL10. Perjalanan diteruskan dengan berjalan kaki sekitar 200 meter sebelum kami benar-benar memasuki Higashi Chaya.
Permandangan kedai-kedai lama seperti zaman fuedal Jepun memang menarik perhatian. Terdapat juga kedai-kedai kraftangan Jepun seperti produk seramik, kedai perhiasan wanita, kedai makan dan minuman keras, juga kedai emas. Sesekali terlihat wanita Jepun lengkap berpakaian kimono traditional dan berjalan berdua-dua. Saya tak pasti sama ada mereka begitu untuk kerja ataupun itu pakaian yang disewa untuk dipakai pelancong.
Selesai di sini, kami teruskan perjalan, melintas jalan besar dan mencari hentian LL11 untuk pulang semula ke Stesen Kanazawa. Sebelum pulang ke hotel, pastinya kami singgah di 7-11 membeli air mineral, onigiri dan roti sandwich telur. Tak lupa juga, pasti kami singgah di mesin menjual air botol untuk membeli air berperisa kegemaran anak-anak. Kami tiba semula di hotel pada pukul 6.30 petang dan semuanya sudah gelap seperti jam 8.30 malam di Kuala Lumpur.
Semasa berjalan-jalan di Kanazawa Castle, kami ditegur dan berbual dengan keluarga berbangsa Cina dari Singapura. Mereka perasan bahasa Melayu kami dan sengaja memulakan perbualan. Dalam perbualan, mereka ada mengatakan yang mereka datang dari Kyoto sebelum ke Kanazawa. Dan katanya Kyoto agak sesak dengan pelancong dan Kanazawa nampaknya lebih tenang. Kami tak pasti sebab belum sampai ke Kyoto lagi. Namun itulah destinasi untuk esok harinya dengan Shinkansen menggunakan JR Pass. Di hotel, kami perlu mula mengemas beg dan barang-barang untuk checkout dan sekali lagi mengejar keretapi Shinkansen ke Kyoto pula.