Video: Association Rules dengan PHP dan MySQL

Lebih kurang setahun lepas, saya membuat video tutorial di YouTube untuk menyelesaikan masalah Association Rules dengan PHP dan MySQL. Sebelum ni saya hanya letakkan source code di laman web. Dan web itu saya dah tak guna lagi, akaun web hosting telah saya tutup. Terlupa saya yang video tutorial YouTube itu mempunyai pautan ke situ.

Baru-baru ini saya lihat kembali video-video YouTube saya, dan saya rasa elok saya pindahkan source code ke Github. Maka inilah dia.

Video Youtube : http://www.youtube.com/watch?v=3J2Q5zyBeCE

Source Code di Github : https://github.com/kidino/php-assoc-rules

assoc-rulesApa Itu Association Rules

Saya pun bukan faham sangat, tapi secara amnya, kita nak mencari hubungkait sesuatu tindakan dengan tindakan yang lain. Dalam contoh yang biasa digunakan adalah untuk mengenalpasti berapa peratus yang membeli gula akan membeli susu. Dan berapa peratus pula yang membeli susu akan membeli gula. Dan juga mungkin apa-apa lagi barangan.

Kaedahnya begini

  1. Dapatkan jumlah transaksi yang mempunyai setiap item barang. Contoh, dari 100 transaksi, 37 mempunyai gula dan 21 mempunyai susu. Jangan lupa, transaksi ini mungkin bertindih dan mempunyai keduanya.
  2. Dapatkan jumlah transaksi yang mempunyai gula dan susu. Kita andaikan 15 transaksi daripada keseluruhan 100 tadi mempunyai kedua-dua gula dan susu.
  3. Daripada ini:
    1. 15/37 atau 40.54% pembeli gula akan membeli susu
    2. 15/21 atau 71.43% pembeli susu akan membeli gula

Inilah data yang ingin dicapai. Dengan peratusan yang lebih besar, kita boleh membuat beberapa rumusan, tetapi ini tertakluk kepada pemilik kedai. Mungkin pembeli susu boleh dicadangkan untuk membeli gula. Atau mungkin pemilik kedai juga boleh meletakkan rak gula di bahagian susu.

Harap ini semua membantu. 🙂