Categories
Open Source

Bagaimana Sebuah Projek “Open Source” Menjana Pendapatan

opensource-logo3Walaupun ianya sebuah projek open source, tetapi menjana pendapatan adalah mesti supaya ianya boleh dibangunkan dan berolah menjadi sesuatu yang masih releven pada setiap masa.

Ya, programmer pun perlu makan, bayar sewa, bayar minyak kereta dan sebagainya. Mereka perlu dibayar untuk masa yang mereka luangkan ke projek open source itu. Jadi sebuah projek open source, walaupun perisiannya diedarkan secara percuma masih memerlukan kewangan.

Kadang-kala nampak macam mustahil. Di sebelah kanan kita ingin menyebarkan sesuatu yang baik dan berguna, dan diberi percuma. Melakukan aktiviti (seolah) amal untuk sejagat. Tetapi di sebelah lagi, kita takkan berupaya melakukan semua itu kalau tiada sokongan kewangan yang kukuh.

Jadi bagaimana projek-projek open source melakukannya?

Mari kita lihat beberapa contoh…


1129-0Firefox – Sumbangan dan Tajaan

Firefox yang dahulunya dimiliki oleh Netscape kini bernaung di bawah Mozilla Foundation. Internet browser ini memang mempunyai jutaan dollar. Dan kebanyakan dana ini diperolehi daripada derma dan tajaan. Antara penyumbang awal dahulu adalah AOL dan Netscape sendiri. Kemudian mereka mula membuat kontrak dengan Google pula. Yang pernah saya baca, Google menjadi sumber kewangan terbesar Mozilla Foundation, sehingga lebih 80% daripada sumbangan yang diterima.


concrete5Concrete5 – Marketplace untuk Aplikasi Sokongan

Pembangun aplikasi CMS ini mempunyai perancangan yang jelas sejak dari mula. Concrete5 yang membantu pembangunan dan pengurusan web diberi percuma sebagai sebuah produk open source.

Bagi menampung kos pembangunan dan operasi, Concrete5 membina sebuah marketplace yang membenarkan pembangun lain menyenaraikan templat, plugin dan lain-lain aplikasi sokongan untuk Concrete5. Concrete5 yang akan menjual kod-kod tersebut dan pembangun akan menerima 75% daripada jualan, dan Concrete5 akan mengambil 25%.

Concrete5 juga menawarkan khidmat dan sokongan penuh untuk pelanggan yang sanggup membayar $750 USD sebulan.


wordpress-logo-notext-rgbWordPress – Versi Hosted dan Aplikasi Sokongan

Mungkin inilah aplikasi pengurusan web (CMS) paling popular. Hampir setiap blog pastinya menggunakan WordPress, termasuklah blog ini. Bagi yang tidak mengetahui, WordPress juga mempunyai versi hosted di Wordpress.com. Ini bermakna pengguna tidak perlu bersusah payah membeli hosting, memasangnya sendiri dan lain-lain. Di samping itu, di dalam versi hosting ini juga terdapat pelbagai aplikasi tambahan untuk penambahbaikan web anda. Contoh aplikasi tambahan ini adalah seperti VaultPress (untuk khidmat backup), Akismet (untuk melawan spam komen), VideoPress (untuk sokongan dan hosting video), dan lain-lain.

WordPress juga menawarkan khidmat sokongan premium beserta hosting untuk pelanggan berprofail tinggi. Ini dikenali sebagai WordPress VIP. Khidmat hosting VIP ini bermula dari $3,750 USD sebulan.


zimbra-logoZimbra – Versi Community dan Versi Enterprise

Banyak juga projek yang menggunakan model ini. Mereka membina versi Community yang diedarkan dengan lesen open source. Dan pada masa yang sama mereka mempunyai versi Enterprise yang dijual bersama khidmat sokongan, dan juga ciri-ciri tambahan.

Selain daripada Zimbra, Alfresco, Liferay, Feng Office adalah antara projek yang menawarkan versi Enterprise dan Community.


mysql-logoMySQL – Khidmat Sokongan Premium (dan syarikat induk yang kaya)

Seperti Firefox, MySQL juga adalah antara projek open source yang telah lama berada di persada Internet. Pada mulanya dahulu MySQL memang memberikan khidmat sokongan premium. Syarikat yang menggunakan MySQL dan inginkan sebarang jaminan boleh melanggan khidmat sokongan yang berharga puluhan ribu ringgit untuk sebuah server.

Sekarang setelah dimiliki oleh Oracle, banyak versi dan khidmat sokongan perlu dibeli melalui Oracle. Selain dari itu, memang kita tahu Oracle adalah sebuah syarikat terkaya di dunia, dengan CEOnya sentiasa menduduki 10 tangga teratas sebagai orang terkaya di dunia.


codeigniterCodeigniter – Produk Sampingan

CodeIgniter adalah sebuah kerangka pembangunan untuk PHP. Memang ianya popular kerana ianya mudah difahami, mempunyai panduan yang lengkap selain daripada dapat membina aplikasi yang pantas bila digunakan.

CodeIgniter dimiliki oleh EllisLab yang juga membina dan menjual CMS lain iaitu Expression Engine dan MojoMotor. Mungkin dengan kelancaran bisnes ini, EllisLab mampu untuk menampung pembangunan dan perkembengan CodeIgniter.

Rumusan

Pertama sekali, janganlah ini dijadikan sebagai rujukan fakta. Saya tidak membuat kaji selidik yang mencukupi. Ini kebanyakannya hasil daripada pengamatan saya terhadap projek-projek di atas.

Secara amnya, ada banyak model yang boleh digunakan untuk mempastikan kelangsungan projek open source. Dari sudut lain, kadang-kala saya juga merasakan “open source” boleh menjadi satu cabang daripada strategi pemasaran. Ini kerana dengan produk yang baik dan inisiatif open source, ianya boleh menjadi buah mulut orang. Dan secara tidak langsung, orang juga boleh mula mengenali produk komersial kita yang lain. Mungkin inilah yang dirancang oleh EllisLab, WordPress, Zimbra dan lain-lain.

Mungkin pembaca mempunyai pendapat yang berbeza (ataupun sama), mungkin boleh kongsikan buah fikiran itu. Ataupun mungkin pembaca mempunyai pengalaman dalam projek open source, atau mengetahui model lain yang boleh digunakan untuk memastikan kelangsungan projek open source, saya mohon tolong berkongsi.

 

One reply on “Bagaimana Sebuah Projek “Open Source” Menjana Pendapatan”

Leave a Reply