Categories
Desktop Software Development Tools Open Source Programming

3 Teknologi Pembangunan Aplikasi Web Open Source Yang Anda (Mungkin) Tak Tahu

Apabila untuk pembangunan web, yang biasa kita baca, kita dengar, dan mungkin kita gunapakai adalah seperti PHP, Ruby, Python, C# dan ASP. Mungkin juga kita pernah dengar pasal bahasa pengaturcaraan baru seperti Go dan Dart.

Dari segi platform dan framework, mungkin kita pernah dengar atau guna Laravel, Codeigniter, CakePHP, Yii, Zend, Symfony. Atau mungkin .NET, Ruby on Rails (RoR) dan Django. Mungkin kita juga teruja dengan teknologi NodeJS dan juga Meteor.

Tetapi tiga platform pembangunan web ini mungkin anda belum pernah dengar. Dan sebenarnya bukan calang-calang teknologi ini. Setiap sesuatu ada pengikut setia mereka, aktif dibangunkan malah digunapakai dalam projek-projek yang hebat seperti membina SaaS, membina OS, membina IDE, aplikasi enterprise dan sebagainya.

Kalau kita pernah dengar pun daripada 3 projek ini, mungkin kita tidak menyangka yang ianya digunakan untuk pembangunan web. Maka di sini saya ingin kongsi 3 teknologi open source yang digunakan untuk pembangunan web yang mungkin jarang-jarang kita dengari:

Cold Fusion Markup Language (CFML) dengan Railo

getrailo-web

Railo tiada kena mengena dengan Ruby on Rails.

ColdFusion Server mulanya adalah produk Allaire Corporation, kemudiannya dibeli oleh Macromedia, yang kemudiannya dibeli oleh Adobe. Untuk membangunkan aplikasi, kita gunakan bahasa CFML. Ianya sangat popular di awal 2000. Banyak pejabat dan agensi kerajaan menggunakan teknologi ini untuk aplikasi yang dibangunkan untuk kegunaan dalaman. Mungkin apa yang menarik tentang CFML, sintaks pengaturcaraannya mirip menulis kod HTML, dan berbeza daripada menulis kod biasa.

Sebenarnya Adobe masih aktif membangunkan ColdFusion Server. Ianya masih dijual dan disenggara oleh Adobe. Namun pada 2002, beberapa penuntut universiti membuat satu projek membina sebuah aplikasi server yang turut boleh digunakan untuk aplikasi CFML. Pada 2005, Railo diperkenalkan dengan lesen open source. Kini ianya menjadi server pilihan alternatif ColdFusion Server.

Malahan, Railo juga dikatakan lebih laju berbanding ColdFusion Server sendiri. Railo didatangkan dengan server Tomcat sebagai version produksi, ataupun Jetty sebagai versi express untuk pembangunan. Maka Railo boleh menggunakan OS Windows, Linux ataupun OSX.

Untuk mula membangunkan aplikasi web dengan Railo, download dan install server itu di komputer. Dan kita sudah boleh bermula.

Wakanda

wakanda-web

Wakanda dibangunkan oleh sebuah syarikat pembangunan aplikasi enterprise bernama 4D, Inc. Produk utama mereka adalah 4D, sebuah platform untuk pembangunan aplikasi desktop. Pada 2011, 4D mengumumkan Wakanda, sebuagh platform untuk pembangunan aplikasi web. Dan berbeza dengan 4D, Wakanda dibangunkan secara open source.

Membangunkan aplikasi untuk Wakanda perlu menggunakan Wakanda Server. Ianya boleh dipasang pada OS Windows, Mac dan Linux. Wakanda juga didatangkan dengan Wakanda Studio, sebuah IDE yang sangat memudahkan pembangunan. Hanya dengan point-click, drag-drop, kita boleh membangunkan aplikasi web.

Wakanda menggabungkan komponen pengkalan data ke setiap projek yang dimulakan. Pengkalan data dan hubungan boleh dibina hanya dengan klik pada mouse. Bahagian front-end banyak menggunakan Javascript dan Ajax untuk memberikan antaramuka yang lebih moden untuk pengguna. Versi 10, kini dalam fasa stabilization juga menggunakan AngularJS untuk interaksi pengguna yang lebih baik.

Saya belum membina sebuah aplikasi dengan Wakanda tetapi nampaknya Wakanda juga fleksibel. Ada projek yang menggunakan platform server AWS dengan S3 dan MySQL untuk projek Wakanda.

Lazarus oleh Free Pascal

Lazarus Website
Lazarus Website

Pascal memang popular lebih kurang pada zaman yang sama dengan ColdFusion. Dan selangkah lebih maju daripada Pascal adalah Delphi, sebuah IDE untuk pembangunan aplikasi GUI desktop Windows, yang juga menggunakan sintaks bahasa Pascal. Dahulu Delphi dibangunkan oleh Borland, tetapi kini Embarcadero. Sekarang, dengan Delphi kita boleh membangunkan aplikasi web, mobile dan desktop untuk pelbagai OS. Cuma saya kurang pasti perihal sejarahnya dan bagaimana Delphi sekarang milik Embarcadero. Namun Delphi adalah sebuah aplikasi yang berharga $1000USD ke atas.

Alternatif yang jauh lebih murah adalah IDE Lazarus. Ianya adalah sebahagian daripada projek Free Pascal, tetapi lebih mirip kepada Delphi, di mana ianya sebuah IDE untuk membangunkan aplikasi GUI untuk Windows.

Dengan Lazarus, kita boleh membina aplikasi web dengan membina CGI. CGI atau Common Gateway Interface disokong oleh kebanyakan web server termasuk Apache dan IIS. Jadi dari segi deployment, ini tidak menjadi masalah.

Bermula dengan IDE Lazarus, terdapat banyak pakej atau framework untuk membangunkan aplikasi web. Tetapi rata-ratanya akan menghasilkan sebuah CGI. Antara pakej yang banyak digunakan programmer Pascal adalah Brooks Framework dan Raudus.

Jika difikirkan dari sudut lain, ini juga seperti PHP yang mempunyai pelbagai jenis framework dari Laravel ke Codeigniter, dari Slim ke Zend, dan lain-lain.

 

 

Leave a Reply