Model Bisnes Untuk Freelance Programmer (dan lain-lain bisnes)

Pemerhatian saya, secara sedar mahupun tidak, banyak bisnes yang menggunakan model sebegini. Aktiviti utama kadang-kala bukanlah aktiviti yang menguntungkan tetapi perlu. Objektif aktiviti utama adalah untuk membina “presence” dan kesedaran umum tentang kewujudan bisnes. Namun, untung dibuat dengan aktiviti sekunder.

Contoh:

  • Penyanyi membuat album dan single. Namun untung dengan undangan majlis, gig, show, menjadi duta produk dan lain-lain.
  • Penulis menulis buku dan mendapatkan royalti. Namun untung dengan undangan ceramah, khidmat rundingan pakar, memberi latihan.
  • Syarikat animasi membuat siri kartun dan karakter popular. Namun untung dengan merchandising, kontrak francais.
  • Projek open source terus membangunkan aplikasi dan diberi percuma. Namun untung dengan khidmat sokongan komersil, khidmat hosting dan monitoring.
  • Majalah dan suratkhabar menghasilkan kandungan yang bagus dan sensasi. Harga jualan mungkin sekadar menampung kos cetak. Namun untung dengan pengiklanan.

Secara amnya, saya ingin katakan bahawa aktiviti utama adalah sesuatu yang kita perlu berikan perhatian dan lakukan dengan baik, walaupun bukan aktiviti yang mendatangkan untung secara langsung. Sekiranya tidak, aktiviti sekunder tidak dapat diteruskan.

Saya bekerja sepenuh masa dengan syarikat di Cyberjaya (kami jual buku). Namun saya pernah “freelancing”. Mungkin kesilapan masa muda. Saya tidak gunapakai model bisnes ini.

Freelance programmer boleh membina aplikasi dan diberi percuma, atau mungkin dijual juga. Itu menjadi aktiviti yang membina “presence”. Sekiranya dijual, sedikit sebanyak boleh menjana pendapatan. Dia akan dikenali dengan aplikasi yang dibinanya itu.

“Joe yang mana ni?” tanya orang.

“Alah… Joe yang buat sistem booking online tu”

Dan untungnya bila mendapat permintaan untuk integrasi atau ubahsuai khas untuk aplikasi tersebut. Secara sampingan, freelance programmer ini juga boleh memberi latihan atau menjadi jurulatih kepada syarikat latihan IT.